5 lagi rangkaian Giant

Petaling Jaya : GCH Retail Malaysia Sdn Bhd (GCH Retail), syarikat yang mengendalikan pasar raya besar Giant, akan membuka lima lagi cawangan baru iaitu di Kangar, Setapak, Kota Bharu, Putrajaya dan Kampung Melayu Subang menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tim Ashdown berkata, dengan tambahan lima cawangan itu, GCH Retail akan mempunyai 133 cawangan Giant di seluruh negara.

“GCH Retail ketika ini mempunyai empat operasi runcit iaitu Giant, Cold Storage Supermarkets, Mercato dan Jasons Food Hall,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama lima tahun dengan syarikat perniagaan ladang bersepadu di Kinta Highlands, Agroto Sdn Bhd (Agroto), di sini, semalam.

Perjanjian itu untuk membekalkan sembilan jenis sayuran kepada empat jenama pasar rayanya iaitu Giant, Cold Storage, Mercato dan Jasons Food Hall. Sayuran itu juga akan dipasarkan di enam cawangan pasar raya Giant di Lembah Klang iaitu Shah Alam, Kota Damansara, Kelana Jaya, Kinrara, USJ dan Batu Caves untuk fasa permulaan.

“Kami akan menilai terlebih dahulu sambutan yang diterima daripada pelanggan di enam cawangan ini dalam tempoh enam bulan sebelum ia dipasarkan di cawangan Giant dan jenama pasar raya lain di seluruh negara,” katanya.

Sembilan jenis sayuran yang bakal dipasarkan melalui jenama O’Fresh adalah kobis, kobis Beijing, tomato, timun Jepun, cili, salad, kapsikum, lobak putih dan little gem.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu bertujuan menyediakan pilihan produk segar daripada ladang moden bersepadu milik Agroto di Cameron Highlands kepada pelanggan.

“Pada masa ini, permintaan pelanggan bukan sahaja bertumpu kepada sayuran segar malah memiliki nutrisi tinggi, lebih segar dan selamat untuk dimakan,” katanya.

Ketika diminta mengulas perancangan untuk meningkatkan pertumbuhan syarikat, Ashdown berkata pihaknya terbuka kepada sebarang kemungkinan sama ada melalui penggabungan dan pemilikan serta pertumbuhan secara organik.

Sebelum ini, sumber dalam industri peruncitan melaporkan beberapa jenama peruncitan mempertimbangkan kemungkinan mengambil alih kepentingan operasi perniagaan Tesco Malaysia.

“Kami tidak berminat untuk mengulas spekulasi ini meskipun terbuka mengenai pelan untuk meningkatkan pertumbuhan syarikat,” katanya.