GCH rancang buka lima cawangan baharu pasar raya Giant

KUALA LUMPUR 27 Ogos – GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (GCH Retail), pemilik pasar raya Giant, Cold Storage, Mercato dan Jasons Food Hall di Malaysia, merancang untuk membuka lima buah cawangan baharu Giant di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail, Datuk Tim Ashdown berkata, lima cawangan itu adalah di Setapak, Kota Bharu, Petra Jaya, Kangar dan Kampung Melayu Subang.

“Penambahan lima buah cawangan itu sekali gus menjadikannya sebanyak 155 buah cawangan di seluruh Malaysia,” katanya selepas ditemui pada pelancaran usaha sama di antara Agroto Sdn. Bhd. (Agroto) dan GCH Retail bagi membekalkan sayuran segar ke pasar raya milik GCH Retail di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Agroto, Datuk Ahmad Shalimin Shaffie.

Menerusi usaha sama itu, Agroto akan membekalkan sembilan jenis sayuran terus dari ladang miliknya yang terletak di Kinta Highland kepada GCH Retail untuk tempoh lima tahun.

Ashdown berkata, sebagai pemilik bagi empat jenama pasar raya terkemuka di Malaysia, usaha sama ini merupakan satu inisiatif strategik yang membolehkan syarikat menawarkan produk segar berkualiti tinggi kepada pengguna.

“Pelanggan inginkan pro­duk-produk berkualiti tinggi, segar dengan harga berpatutan dan terus dari ladang, oleh itu kami mengambil peluang ini untuk hadir dengan satu jenama yang dikenali sebagai O’Fresh untuk memenuhi permintaan pelanggan,” jelasnya.

Tambahnya, bagi memenuhi permintaan pelanggan, Agroto telah membekalkan sebanyak 1,000 karton sayur-sayuran setiap hari ke 40 buah pasar raya Giant di Semenanjung.

“Kami jangkakan permintaan akan terus meningkat dan Agroto akan turut meningkatkan jumlah bekalan bagi memastikan ia mencukupi,” katanya.